Wednesday, September 19, 2012

Polis Melaka tahan 16 pengunjung pusat karaoke, rampas dua dulang dadah




MELAKA - Polis Melaka menahan sembilan lelaki dan tujuh wanita serta merampas dadah ketamin dan ganja dalam serbuan di dua pusat karaoke di Jalan Melaka Raya di sini, awal pagi tadi.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Supt Md Azmi Othman berkata kesemua mereka yang ditahan dalam operasi selama lebih dua jam bermula pada 2 pagi itu termasuk enam wanita warganegara China berusia antara 30 hingga 50 tahun.
   
Beliau berkata dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki dan dua wanita warga China di dalam sebuah bilik karaoke selepas positif dadah jenis amphetamine dan ketamin.
   
"Polis turut menemui satu dulang dadah jenis ketamin dan satu paket plastik berisi dadah jenis sama di atas meja di bilik tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
   
Sementara dalam serbuan kedua, polis menahan lapan lelaki dan seorang wanita tempatan serta empat wanita warga China di sebuah lagi pusat karaoke berhampiran.
   
Md Azmi berkata pihaknya turut merampas satu dulang plastik dadah dipercayai ketamin serta satu bungkusan berisi bahan tumbuhan kering disyaki ganja di pusat karaoke berkenaan. - Bernama

No comments: