100 bendera diturunkan
Anggota penguat kuasa MPSJ menurunkan bendera parti politik yang digantung di kawasan Putra Height.













SUBANG JAYA – Belum diumum tarikh pilihan raya umum, ratusan bendera parti politik sudah megah berkibar di tiang lampu sepanjang jalan raya.
Sikap ‘tidak sabar’ sesetengah parti politik itu akhirnya membawa padah apabila Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bertindak menurunkan lebih 100 bendera parti politik yang digantung secara haram sejak sebulan lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, beliau menerima aduan daripada penduduk yang mendakwa terlalu banyak bendera dipasang di beberapa laluan di Putra Heights di sini sehingga ada di antaranya yang didakwa menutup simpang jalan.
Menurutnya, beliau kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak majlis untuk tindakan selanjutnya.
“Sekarang ini bukannya waktu berkempen, justeru bendera mana-mana parti politik tidak sepatutnya digantungkan di mana-mana tempat.
“Tindakan menggantungkan bendera parti ini sama seperti menampal iklan ah long,” katanya.
Beliau berkata, pimpinan parti politik harus menghormati bahawa sekarang bukanlah masanya untuk berkempen dengan menaikkan bendera mereka di tiang lampu sepanjang jalan raya.
“Kalau bukan untuk tujuan tunjuk arah sekiranya ada majlis dianjurkan parti politik tidak kira parti apa pun ia satu kesalahan,” katanya menjadi kesalahan jika tindakan menggantung bendera tidak mendapat kebenaran majlis.
Menurutnya, beliau memaklumkan kepada majlis selepas menerima aduan daripada penduduk.
“Kita adil dan mengambil tindakan kepada semua bendera dipasang tanpa mengira ia parti politik apa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid berkata, dalam beberapa operasi dijalankan sebelum ini sebanyak 63 bendera Barisan Nasional (BN) diturunkan manakala selebihnya adalah daripada parti Pakatan Rakyat (PR).
“Sebanyak 16 bendera yang diturunkan adalah daripada parti DAP, 28 daripada PKR manakala enam adalah bendera Pas. “Pihak majlis memberi pengecualian menggantung bendera sekiranya parti politik menganjur majlis tetapi selepas itu ia perlu dibuka kerana menjadi kesalahan menggantung bendera sebelum kempen pilihan raya,” katanya.