Sunday, March 25, 2012

Segelas Air Panas Berharga RM1.80




Segelas air panas RM1.80
CHUKAI – “Sebagai pelanggan saya rasa tertipu,” keluh pekerja swasta, Ishak Kamarudin, 42, yang kesal dengan harga RM1.80 bagi segelas air panas yang disifatkannya sebagai tidak munasabah.

Ishak dari Taman Alamanda, Jalan Kubang Kurus, dekat sini berkata, dia yang menjamu selera bersama isteri dan dua anak di sebuah restoran di Taman Chukai Utama pada 23 Februari lalu terkejut apabila melihat caj yang dikenakan untuk air panas yang diminta berharga RM1.80.

Menurutnya, harga yang dikenakan itu tidak masuk akal dan seolah-olah mengambil kesempatan terhadap pelanggan.

Malahan, katanya, harga air panas juga tidak dimasukkan di dalam menu menyebabkan pelanggan tidak mengetahui harga untuk minuman berkenaan.

“Ketika saya pergi ke kaunter untuk membayar, tergerak hati saya untuk minta bil dan bila lihat bil, terkejut saya lihat harga air panas dalam gelas RM1.80. Disebabkan ragu-ragu, saya tanya pemilik restoran itu yang menjaga kaunter sama betul atau tidak harga air panas itu RM1.80 dan dia mengiakannya.

“Bukan kerana harga RM1.80 semata-mata saya persoalkan perkara ini, tetapi saya rasa tertipu kerana harganya tidak dimasukkan ke dalam menu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Kata Ishak, restoran itu kerap dikunjunginya sekeluarga untuk menjamu selera dan dia sering meminta air panas, tetapi sebelum ini dia tidak pernah melihat bil sebaliknya hanya membayar sahaja.

Berikutan itu Ishak kemudiannya membuat aduan di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Kemaman pada 26 Februari lalu.

“Lepas seminggu kemudian saya dihubungi pihak PPDNKK Kemaman yang telah membuat pemeriksaan di restoran tersebut dan tuan restoran kata dia tersilap. Namun bagaimana ia silap sedangkan ketika saya tanya sebelum ini tuan restoran itu mengiakan harga itu,” katanya.

No comments: