Saturday, March 24, 2012

Kisah Jutawan Kurma Yusuf Taiyoob




Siapa tak kenal kurma yang paling popular di Malaysia berjenama Yusuf Taiyoob, iaitu bersempena dengan nama boss nya sendiri iaitu Datuk Yusuf Taiyoob. Yusuf  Taiyoob memang tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta.Yang menarik, kompleks kilangnya terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan, sekali gus ribuan pemandu tidak akan terlepas pandang melihat bangunan berwarna coklat cair itu dengan nama Yusuf Taiyoob terpampang besar di satu sudut.


Prinsip utama dalam hidup Yusuf ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit.“Saya menghadapi banyak kesukaran dalam perniagaan pertama saya iaitu menjual minyak wangi. Pada masa itu saya berumur 21 tahun dan ada pihak langsung tidak memandang saya, tetapi saya bersyukur mendapat bantuan keluarga.“Itu menyedarkan saya, apabila anda tiada kepentingan atau daripada syarikat kecil, orang tidak akan pandang langsung, malah anda akan ditendang ke sana ke sini,” kata bapa kepada tiga anak itu.
Selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba pelbagai perniagaan lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus, makanan kering dan rempah.Beliau kemudian mencari bentuk perniagaan baru, walaupun menyedari kesulitan bakal dihadapi hinggalah terfikir untuk menjadi pembekal kurma di negara ini.Walaupun menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma pada 1990, beliau percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan dengan jaminan produk berkualiti.
Kini syarikat miliknya, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) menjadi pembekal terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari luar negara untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3,000 rangkaian pengedar di seluruh negara.Bagi memastikan stok kurma mampu memenuhi permintaan pasaran, Yusuf memesan dan menyimpan stok berkenaan tiga bulan lebih awal dan sebaik saja musim perayaan tamat, beliau mula memesan stok untuk menyambut Ramadan tahun depan.
Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, kata Yusuf, beliau tidak pernah lupa untuk memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.“Kita kena bantu orang susah sebab saya rasa seronok apabila mampu mengurangkan beban mereka, kalau ada lebih kita kena bersedekah dan beringat bahawa rezeki dikurniakan Tuhan,” katanya.

No comments: